Monday, September 10, 2007

Mungkinkah Aku Dari Keturunanmu Wahai Nyemah Mulya

Isnin

10 September 2007

1.15 tengah hari

Lisbon pada tahun 1515 jatuh ke tangan Melaka.Orang Melayu memerintah di sana…sehingga tahun 1580 … (1515)

Tajuk di atas merupakan ayat yg aku ambil dari petikan novel yg ditulis oleh Faisal Tehrani berjudul 1515. Aku di sini menulis bukan untuk mewakili pengkritik umum mengenai kebaikan & kekurangan cerita di dalam novel tersebut. Aku bukanlah sasterawan ataupun penulis yg mahir untuk menggunakan komen berkaitan isi kandungan novel tersebut. Bukan juga ingin menilai sejauh mana perubahan sejarah Melayu khususnya sejarah Kesultanan Melayu Melaka tahun 1511. Cuma apa yg aku ingin kongsi bersama ialah mengenai perasaan sebagai seorang Melayu Islam berasal dari Melaka apabila membaca novel yg menyentuh emosi, semangat & juga sanubari para pembaca.

Novel ini sememangnya berjaya melakarkan semangat juang di kalangan orang Melayu setelah membaca mengenai sejarah kebangkitan Melaka versi 1515 ini. Semangat jihad yg ditonjolkan menerusi watak Nyemah Mulya, seorang srikandi Melaka zaman tersebut yg juga merupakan anak seorang guru agama yg terkenal. Perjuangan berteraskan agama mempengaruhi semangat jihad di kalangan pemuda-pemuda Melaka. Kebangkitan Melaka pada zaman tersebut melalui idea-idea yg dikemukakan penulis menjadi asas kepada kejayaan di dalam peperangan menentang Feringgi. Penggunaan undang-undang berteraskan syariat islam menerusi Hukum Kanun Melaka & Undang-Undang Laut Melaka memberi petunjuk bahawa hukum islam telah digunakan seawal kurun ke -15 sebelum kedatangan penjajah. Warna bendera Melaka iaitu berlatarbelakangkan warna hijau & ditengahnya mempunyai lambang bulan sabit berwarna putih, mencerminkan Melaka ketika itu di era pemerintahan islam.

Kehebatan Angkatan Perang Nusantara di dalam memerangi tentera Portugis memberi kekuatan betapa angkatan perang islam mampu mengatasi kuasa dari Eropah jika semua kerajaan-kerajaan Islam ketika itu bersatu tenaga dan menggunakan kebijaksanaan. Apa yg ditonjolkan di dalam novel ini bagi aku ialah secara tersiratnya idea penulis yg cuba disampaikan kepada pemerintahan & rakyat Melaka pada kurun ke 15 agar jangan melakukan maksiat yg boleh menyebabkan Allah memberi balasan bala & petunjuk atas perbuatan terkutuk tersebut. Idea bagaimana menewaskan Portugis dengan membakar jambatan yg menghubungkan Melaka dgn kapal-kapal pedagang luar memberi mesej bahawa penulis mungkin mengharapkan Kerajaan Melaka ketika itu patut melaksanakan strategi peperangan sedemikian. Di samping menghantar 200 hulubalang Melayu yg berani bersampan menghampiri nau Portugis serta meletupkan nau-nau tersebut menggunakan peledak yg dipasang di sekeliling badan mereka. Aku pun tak pasti sama ada idea jihad dgn meletupkan diri seperti ini telah wujud pada zaman tersebut tetapi penulis menggunakan idea tersebut dalam novel ini.

Dengan alasan tidak mahu mengulas panjang, kesimpulannya, aku berpuas hati dengan novel berharga RM22.00 ini kerana ia berjaya memberi semangat kebangkitan perjuangan islam yg perlu wujud. Perjuangan seorang srikandi yg wataknya juga merupakan wali Allah memimpin segenap kekuatan bala tentera Melaka menentang Feringgi yg zalim & kejam serta bencikan islam memberikan emosi yg positif pada aku. Emosi yg positif di sini bermaksud minda yg berani untuk menegakkan kebenaran mengenai agama Allah. Minda bahawa tiada apa yg mustahil untuk kita lakukan dengan niat ikhlas untuk berjuang kerana Allah, berusaha, berdoa & bertawakal memohon kepadanya.

No comments: