Monday, September 10, 2007

DINAR EMAS

Aku petik beberapa artikel mengenai dinar emas ini bertujuan memberi informasi mengenai mata wang yang digunakan di zaman khilafah islam ini di samping mempromosi hasil usaha Menteri Besar Kelantan yg juga merupakan Mursyidul AM Pas, Dato’ Nik Aziz Nik Mat & juga mantan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed untuk mengamalkan penggunaan dinar sebagai mas kawin atau mahar bagi bakal-bakal pengantin yg ingin melangsungkan perkahwinan….Insya Allah.

Dinar Emas Kelantan Dilancar 20 Sept

0 Comments Published by Husam Musa on Wednesday, September 27, 2006 at 12:39 PM.
KOTA BAHARU, Sept (Bernama) -- Kelantan bakal memperkenalkan dinar emasnya kepada umum pada 20 Sept ini, sebagai satu simpanan, mas kahwin, zakat dan hadiah, kepada rakyatnya.Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Datuk Husam Musa berkata dinar itu bukanlah sebagai satu mata wang rasmi Kelantan seperti yang didakwa sesetengah pihak.Penggunaan dinar ini semata-mata untuk membolehkan rakyat Kelantan mengetahui mengenai sejarah penggunaannya, katanya pada pra-pelancaran dinar itu di sini, hari Rabu.Pelancaran dinar emas itu akan dilakukan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan untuk tempoh pertama pengenalannya, kerajaan negeri melalui Permodalan Kelantan Berhad telah menempah tiga kilogram emas bernilai RM240,000 dalam bentuk dinar bagi dijual kepada orang ramai.Katanya kerajaan negeri turut membeli dinar yang berharga RM100,000 untuk tujuan simpanan.Orang ramai boleh mendapatkan dinar itu dalam saiz satu dinar yang dijual pada harga RM332.25, setengah dinar (RM176.76) dan suku dinar (RM99.38).Husam berkata rekabentuk dinar itu dicipta oleh anak Kelantan sendiri dengan muka depan dinarnya tertera tahun dikeluarkan, logo negeri, kubah masjid, berat emas dalam gram dan mutu emas.Pada muka belakang dinar itu juga tertera tahun ia dikeluarkan, perkataan dalam tulisan jawi "emas dinar Kelantan" dan berat emas dalam gram.Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri telah melantik satu jawatankuasa untuk mengkaji penggunaan dinar emas itu sama ada menyalahi peraturan undang-undang atau sebaliknya."Bagaimanapun jawatankuasa ini mendapati ia tidak menjadi satu kesalahan di bawah peraturan Bank Negara jika Kelantan memperkenalkan dinar emas ini dan tidak perlu mendapat kelulusan bank pusat tersebut," katanya.Ketika Husam mengumumkan cadangan penggunaan dinar itu tiga bulan lalu, ia mendapat perhatian ramai pihak kerana khuatir ia menyalahi peraturan Bank Negara.Ia juga mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak membenarkan Kelantan menggunakan dinar emas sebagai mata wang rasmi.Husam juga berkata orang ramai yang ingin menjual kembali dinar itu boleh menebusnya dengan wang tunai sama ada di lapan premis pajak gadai Islam ar-Rahnu atau di kedai-kedai emas terpilih.Beliau juga mempelawa pihak di luar Kelantan yang berminat untuk menjadi agen menjual dinar emas Kelantan supaya menghubungi Kerajaan Negeri untuk berbuat demikian."Sesiapa sahaja di Malaysia boleh membeli dinar ini untuk disimpan sebagai tabungan kerana nilai emas tidak susut nilainya berbanding mata wang yang kita gunakan sekarang," katanya.Menurutnya dinar itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan orang ramai tidak perlu bimbang dinar palsu di pasaran.Mereka boleh mendapatkan dinar itu di premis penjualannya di Jalan Dato Pati di sini.BERNAMA

http://kakhbarcetusan-hati.blogspot.com/

Ekonomi Dinar Emas : Pelan Induk Ummah
Pelan Induk Ummah berkenaan ekonomi dinar emas telah dirangka sebagai teras kesinambungan perantaraan ekonomi global. Satu persidangan antarabangsa anjuran Marslio International telah dilangsungkan pada 24 sehingga 25 Julai 2007 di PWTC.Matlamat utama persidangan adalah untuk mempromosikan dinar emas sebagai penyelesaian praktikal ekonomi terutamanya krisis ekonomi semasa yang berpunca dari pengaruh penggunaan matawang fiat. Persidangan ini telah dihadiri oleh tokoh pemikir Islam seperti Umar Ibrahim Vadillo, Sheikh Imran Hoessin, Tarek Dimany dan perintis dinar emas di Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak ketinggalan menyampaikan ucaptama.Dinar Emas yang terkenal dengan nilai intrinsik dan bersifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi telah disyorkan supaya dikembalikan peranannya pada masa kini. Justeru beberapa pihak telah digesa supaya mengambil langkah sewajarnya bagi tujuan tersebut sebagaimana berikut.Bank Negara Malaysia dicadangkan supaya meneliti penggunaan Dinar Emas sebagai penjelasan dagangan pelbagai hala di kalangan negara-negara peserta meliputi sistem penyelesaian kredit. Masyarakat pula perlu disediakan alternatif cara pembayaran sama ada dalam dinar atau ringgit sebagaimana pilihan konvensional dan perbankan Islam. Kaedah ini secara tidak langsung akan memberi kesempatan kepada masyarakat bagi menilai kelebihan dinar emas berbanding wang fiat.Dewan Perniagaan pula digesa supaya mengalakkan pengunaan dinar emas di kalangan ahli seperti menyelesaikan pembayaran berkonsepkan sistem barter yang berteraskan dinar emas dengan kaedah yang terbaik. Pelaksanaannya tidak hanya terbatas dalam negara sahaja malahan boleh diperpanjangkan ke peringkat antarabangsa seperti Timur Tengah, Asia Barat, Negeri China dan rakan dagangan yang lain. Dengan ini rangkaian dewan perniagaan dunia dapat diwujudkan dan seterusnya akan membentuk jaringan dinar emas secara global.Majlis Agama Islam Negeri seharusnya mengutama serta mengalakkan pembayaran mas kahwin dan zakat dalam bentuk dinar emas. Memandangkan dinar emas adalah urusan ekonomi Islam maka Majlis Agama Islam Negeri sewajarnya melopori usaha ini dengan mengadakan kempen berkenaan keistimewaannya serta menerangkan bahawa pendekatan ini menjamin keadilan dan kemakmuran untuk semua lapisan termasuk golongan bukan Islam. Sistem bersepadu Al-Rahnu atau gadaian emas perlu diperluaskan pelaksanaannya dengan mendapat sokongan serta penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pengubal dasar, masyarakat peniaga dan ahli akademik dalam usaha mengangkat dinar emas sebagai satu jalan penyelesaian masalah sistem kewangan dunia sedia ada. Kewujudan sistem ini perlu dikaji dari pelbagai aspek bagi memperkukuhkan pegangan emas di kalangan masyarakat dalam negara. Peningkatan pegangan emas ini akan membantu negara apabila berdepan krisis ekonomi kelak. Di peringkat antarabangsa satu badan kerjasama perlu ditubuhkan bagi mencari formula mempopularkan dinar emas sebagai alat perantaraan terbaik dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, dana tabungan, pendidikan, ekonomi dan seumpamanya supaya mekanisma aplikasi dinar emas dapat dimanfaatkan lebih ramai lagi peserta. Badan antarabangsa ini boleh terdiri daripada pelbagai badan seperti politik, NGO atau lain-lain pertubuhan berdaftar dengan mengaplikasikan dinar emas sebagai alat perantaraan dalam urusan masing-masing seperti yuran tahunan dan seumpamanya. Dengan terlaksana langkah di atas, diharap aplikasi dinar emas akan mendapat tempat pelbagai lapisan masyarakat dunia dan seterusnya menjadi perantaraan penting dalam urusan perniagaan global.

Sejarah Dinar Emas

Dinar Emas dan Dirham Perak
Sejarah Pengenalan Dinar Emas dan Dirham Perak.Kesohoran dinar sebagai satu matawang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu matawang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai matawang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai matawang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan “Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years“ adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut. Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku…jawapannya ialah matawang konvensional yang tersedia ada tidak berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Apa yang berlaku pada hari ini ialah dunia menggunakan wang kertas yang rezabnya hanyalah dalam bentuk nisbah peratusan emas yang diperuntukkan dan bukannya instrumen itu sendiri yang memiliki nilai emas secara keseluruhannya. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 9166 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.

http://emasdinar.blogspot.com

No comments: