Monday, September 24, 2007

DARI TEBRAU ORANG BERAKIT, SINGGAH SETULANG MEMBELI KOPI....

Jumaat

21 September 2007

5.00 Petang

Hari ini merupakan hari terakhir aku berada di JB. Shita pulak telah kembali pulang ke pejabatnya setelah selesai menunaikan audit di KB hari isnin & selasa lepas. Setelah berhempas pulas menjalankan tugasan audit, kini aku nak berehat sepuas-puasnya di dalam kamar hotel The Zon sebelum balik ke KL.

Di JB, Firdaus membawa kami melawat dan meronda sambil-sambil mencari juadah berbuka di sekitar JB. Antara tempat yg kami berempat kunjungi ialah Hock Seng Bundle, Kafe Enampuluhan yang menjual mee rebus yang tersangat enak, Pasaraya Extra di mana terdapat bazar ramadhan di situ, tidak lupa juga di Pasar Borong Pandan, tempat aku membeli-belah dvd filem dengan harga yang sangat berpatutan.

Shita pula mendapat jangkitan virus selsema serta sakit tekak setelah tiba ke KL. Mungkin sebab tidak serasi dengan perubahan cuaca agaknya selama 2 hari berada di KB. Aku di JB pula rasa macam tak cukup tidur sehinggalah aku tak sempat bersahur pada 2 malam berturut-turut kerana terlalu mengantuk. Aku masih belum tahu apa buah tangan yang ingin dibawa balik kerana di JB ini bukan seperti di Kelantan ataupun Perlis. Tidak banyak barangan makanan kering yg menjadi trademark makanan JB untuk dibeli dan dibawa balik. Sebaliknya dengan Shita, dia banyak membeli keropok lekor serta kacang dalam tin yang merupakan makanan kegemaran kami berdua. Tidak lupa juga sedikit barangan untuk dibuat hantaran perkahwinan.

Dalam tempoh seminggu aku di JB, aku berpeluang duduk minum di beberapa tempat makan popular antaranya di Danga Bay, Singgah Selalu, Kafe Anggun dan juga Gazebo. Semasa duduk minum di Beach Cafe, Danga Bay, aku berpeluang menyaksikan persembahan live unplugged dari sebuah band yang aku fikir merupakan pemuzik tetap di kafe tersebut. Beberapa lagu yang dibawa antaranya ialah seperti Hotel California, lagu kumpulan Spider yang aku tak pasti tajuknya & sebuah lagu dari Marc Anthony.

Kami juga turut berjalan-jalan meronda sekitar bandaraya JB. Kini aku berkesempatan melihat lokasi bagi beberapa buah objek yang aku kenal menerusi nama sahaja seperti English College, Sekolah Tun Fatimah, Istana Tengku Muda Johor dan juga Mutiara Motor Sdn Bhd milik En.Mat Kemin.

Selesai solat jumaat, kami bercadang untuk ke Ayer Hitam pula. Setibanya di sana, aku sempat membeli bakul raga yg aku nampak agak cantik untuk dijadikan bekas hantaran. Kedai – kedai di kawasan Ayer Hitam ini lebih kurang dengan apa yg ada seperti di Nilai 3. Jarak perjalanan antara Johor Bahru Ke Ayer Hitam lebih kurang 85km.

Pagi sabtu, kami bertolak balik ke Kuala Lumpur. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari aku sampai di Kajang. Keletihan & kemengantukan yg amat sangat membuatkan aku tertidur sehingga pukul 5.30 petang. Manakala Shita pula pada pagi sabtu ni sibuk membawa makcik & sepupunya membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur. Seminggu di JB memberi banyak kesempatan untuk aku dan kawan-kawan melawat tempat-tempat menarik di sana. Kenangan membeli makanan di bazar ramadhan Extra, duduk minum sambil meghirup udara malam di Danga Bay serta berpeluang berjalan-jalan di sekitar Tanjung Puteri mengingatkan aku kepada lagu Tanjung Puteri nyanyian Othman Hamzah antara liriknya berbunyi.....

DARI TEBRAU ORANG BERAKIT.....
SINGGAH SETULANG MEMBELI KOPI....
PUSARA SI BONGKOK DI LERENG BUKIT....
DI TEPI PANTAI....TANJUNG PUTERI

Kami berpeluang melihat orang berakit di Selat Tebrau. Kami juga sempat merasa nikmat kopi selama seminggu di Setulang. Sungguhpun sahabatku Firdaus gagal menunjukkan di mana letaknya pusara si bongkok di Tanjung Puteri ini, tetapi kami berempat tetap gembira dan berpuas hati di sepanjang minggu kami berada di JB.

No comments: